Monday 3 November 2008

PS 4305 2.15 Role of Language, Culture, Religion, Traditional games in maths (Malay)

TAJUK:

PERANAN BAHASA, AGAMA, BUDAYA TERMASUK PERANAN PERMAINAN (TRADISI BRUNEI) DALAM PENGAJRAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

KANDUNGAN

1.0 Pendahuluan

2.0 Apa dia Bahasa? 1

2.1 Bahasa dalam Matematik 1

2.2 Peranan Bahasa dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik. 2

2.3 Simbol matematik 2

2.4 Bagaimana Bahasa Mempengaruhi Matematik? 4-7

2.5 Matematik menggunakan perkataan dengan cara istimewa 7

3.0 Peranan Agama

3.1 Agama Islam 7-8

3.2 Agama Hindu 9

4.0 Apa dia Budaya? 9

4.1 Peranan Budaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik. 10-12

4.2 Sejarah Budaya

5.0 Aktiviti Persekitaran dan Budaya Matematik (Environmental activities and

Mathematics Culture 13-17

5.1 Unsur-Unsur Matematik Dalam Permainan 16-17

5.2 Permainan Dalam Matematik (Tradisi Brunei)

5.2.1 Permainan Gasing 18

5.2.2 Permainan Congkak 18

5.2.3 Permainan Tinting 18

5.2.4 Permainan Datu harimau 18

5.2.5 permainan tapuk-tapukkan 19

6.0 kesimpulan 19

1.0 Pendahuluan

Matematik menjadi alat yang berguna dalam kehidupan seharian kita. Matematik juga adalah dilahirkan daripada kehendak dan keperluan menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian. Kita menggunakan matematik untuk aktiviti urusniaga, perjalanan, makanan, pembelajaran, budaya, agama dan sebagainya.Hampir semua aktiviti sosial manusia tidak terpisah daripada matematik.

2.0 Apa dia Bahasa?

Bahasa merujuk kepada kemahiran berbahasa yang merangkumi kebolehan bercakap, menulis dan memahami simbol – simbol sesuatu bahasa.

2.1 Bahasa dalam Matematik

Bahasa mempunyai simbol-simbol dan sistem yang menghubunginya dengan tatabahasa. Di dalam bahasa matematik tatabahasa terdiri daripada hukum-hukum, teorem-teorem dan rumus-rumus matematik yang menghubungi simbol-simbolnya. Bahasa matematik merangkumi 2 unsur utama iaitu istilah matematik dan simbol matematik.

Istilah matematik adalah nama-nama khusus yang diberikan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan matematik. Operasi seperti penambahan, penolakan, pendaraban dan pembahagian;unit ukuran seperti meter dan sentimeter, kg dan gram, jam dan minit dan lain-lain.Manakala simbol matematik adalah lambang-lambang yang digunakan untuk mewakili konsep, idea, istilah atau operasi matematik contohnya; % digunakan untuk mewakili konsep peratus, ml digunakan sebagai ringkasan mililiter, + - x ÷ adalah digunakan untuk mewakili operasi tambah, tolak, darab dan bahagi.

Dalam matematik bahasa boleh ditafsirkan sebagai sesuatu seni iaitu merangkumi seni lukis sebagai contoh bentuk-bentuk geometri paling asas dan terpenting ialah segitiga dan segiempat sebagai langkah permulaan bagi kerja gubahan dan rekabentuk., seni muzik iaitu muzik menggunakan angka untuk membezakan tinggi dan rendah nada suara, contohnya do,re,me dilambangkan dengan 1,2,3.

Manakala dari segi seni bina sebagai contoh banyak bentuk yang terdapat di sekeliling kita adalah berasaskan bentuk geometri diantaranya ialah bangunan yang dibentuk sebagai silinder, prism atau kuboid dan dari segi seni budaya seperti permainan tradisional berbilang bangsa sebagai contoh permainan congkak.

2.2 Peranan Bahasa dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik.

Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran matematik kerana semua fakta konsep, operasi dan hukum matematik adalah diwakili oleh bahasa matematik.

Bahasa merupakan alat yang biasa digunakan untuk berkomunikasi dan sekaligus sebagai bahasa pengantar untuk guru menyampaikan kepada pelajar. Selain dari itu guru juga menggunakan bahasa untuk berinteraksi dan menilai sejauh mana pemahaman murid tentang isi pelajaran yang disampaikan.

Komunikasi memainkan peranan yang penting dalam membantu pelajar bukan sahaja membina konsep malahan membina perkaitan antara idea yang tidak formal, intuitif dan bahasa abstrak dengan simbol matematik . Komunikasi membuka ruang kepada pelajar untuk berbincang dan bersoal -jawab tentang matematik, memberi pendapat atau idea untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

2.3 Simbol matematik

Simbol matematik adalah lambang yang digunakan untuk mewakili konsep, idea, istilah atau operasi matematik. Biasanya, tatatanda yang digunakan ialah huruf abjad atau lambang yang tersendiri.

Simbol matematik pula memerlukan untuk kita menulis sedikit sahaja dan idea dapat di tulis secara tepat. Simbol matematik ada kebaikannya, iaitu sangat jelas iaitu satu idea boleh diwakili oleh satu simbol sahaja. Murid-murid juga mempunyai masalah dalam mengenal pasti simbol-simbol yang terdapat dalam matematik, contohnya:

1.>

2.<

Simbol di atas boleh ditafsirkan sebagai ‘lebih daripada dan kurang daripada’. Dengan adanya simbol untuk konsep penting ini, pernyataan boleh diringkaskan.

Simbol dan ungkapan matematik yang dicipta menjadikan operasi matematik lebih ringkas, cepat dan tepat demi memudahkan kefahaman dan proses pemikiran manusia yang menggunakannya. Adalah rumit bagi kita jika menjalankan operasi matematik seperti operasi tambah tanpa menggunakan simbol sebagai contoh ‘ lima tambah dengan lapan jawapannya tiga belas” manakala dengan menggunakan bahasa matematik iaitu 5+8 =13 adalah lebih mudah untuk memberi kefahaman mengenai dengan konsep matematik. Seperti huraian Dienes, kefahaman konsep dan penyelesaian masalah matematik adalah dipermudahkan dengan penggunaan bahasa matematik. Dienes mengelaskan konsep matematik dalam 3 kategori:

1) tulen- sebarang simbol yang boleh mewakili nombor-nombor, contohnya : tiga (3).

2) konsep tatatanda – contohnya 253 bererti 200+50+3

3) konsep penggunaan iaitu mengaplikasikan kedua-dua konsep dalam penyelesaian

masalah matematik.

Bahasa yang digunakan bagi matematik adakalanya berlainan daripada bahasa yang digunakan oleh murid-murid dalam kehidupan mereka seharian sebagai contoh dalam bahasa kita ‘( )’ bermaksud informasi tambahan (additional information) tetapi dalam bahasa matematik ‘( )’ bermaksud lain iaitu adakalanya nombor di dalam kurungan hendaklah diselesaikan dahulu dan adakalanya nombor yang diluar didarab dengan nombor yang ada di dalam kurungan seperti 2(3) iaitu 2x3. Dengan adanya bahasa atau simbol yang khusus bagi matematik, murid-murid boleh mengetahui perbezaannya dengan bahasa yang mereka gunakan sehari-hari.

2.4 Bagaimana Bahasa Mempengaruhi Matematik?

Kebanyakkan murid-murid di negara ini menggunakan bahasa Inggeris itu sebagai bahasa mereka yang kedua. Merujuk kepada sistem pendidikan di Brunei, peralihan bahasa melayu ke bahasa Inggeris bagi pengajaran dan pembelajaran Matematik di peringkat rendah atas, sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi atau pembelajaran murid.

Berlainan bangsa menggunakan sistem nombor yang berbeza. Contohnya China menggunakan symbol yang berbeza dari budaya lain, cara penyebutannya juga mempunyai caranya yang tersendiri contohnya “yi (1), er (2), san (3), si (4), wu (5) dan sebagainya.

Manusia mula menggunakan simbol untuk mewakili nombor kira-kira 5000 tahun yang lalu. Dengan berlalunya zaman demi zaman, manusia di tempat-tempat tamadun kuno seperti Mesir, babilon, China, India telah mencipta berbagai-bagai sistem penomboran. Contohnya:

Sejarah nombor

Kesukaran dalam memahami makna sering dihadapi oleh murid-murid terutama dalam soalan penyelesaian masalah matematik atau “Problem Solving”. Murid-murid tidak memahami soalan, oleh itu miskonsepsi mudah berlaku. Mereka tidak memahami kehendak soalan terutama sekali apabila soalan itu dalam bahasa Inggeris.

Antara perkataan yang sukar difahami oleh murid-murid ialah:

1. ‘less than’

2. ‘more than’

3. ‘altogether’

4. ‘difference’

Manakala ada terdapat penyebutan nombor dalam bahasa inggeris yang tidak bersangkut paut dengan asas nombor 10 (base 10). Tetapi dalam Bahasa Melayu penyebutan nombor tersebut ada menunjukkan hubung kait dengan asas nombor 10 (base 10).

2.5 Matematik menggunakan perkataan dengan cara istimewa

Adakalanya erti perkataan matematik lebih kurang sama dengan penggunaan biasa dan adakalanya tidak. Contohnya, mengikut kamus, perkataan ‘darab’ bermaksud bertambah bilanganya, bertambah kuantitinya. Apabila kita mendarab dua nombor bulat, makna darab di sini betul. Tetapi apabila dua pecahan seperti ½ dan didarabkan, hasilnya ialah satu per enam, iaitu lebih kecil daripada ½ dan ⅓. Dalam kes ini makna darab tidak semestinya bertambah bilangan atau bertambah kuantiti. Oleh itu, kita harus menerima erti perkataan matematik yang istimewa untuk meluaskan lagi konsep matematik.

3.0 Peranan Agama

Agama juga memainkan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.

3.1 Agama Islam

Contohnya dalam agama Islam, Mohammad Bin Musa Al-Khowarizmi merupakan seorang ahli saintis yang amat termasyhur dikalangan khalifah Al-Mamun,beliau mengajarkan cara orang Hindu mengira kepada orang-orang Arab. Hasil kerja Arab beliau telah diterjemah kepada bahasa Latin dan dikenali sebagai Nombor Gobar (Bentuk Hindu-Arabic).

Bentuk Hindu-Arabic

Daripada sudut geometri pula, orang Islam boleh mengetahui hala tuju kiblat untuk menunaikan sembahyang fardhu. Aritmetik dan algebra adalah diperlukan untuk mengira harta pusaka dan untuk mengira hari dan tahun. Kebanyakkan bangunan yang dibina adalah berasaskan bentuk geometri. Contohnya di negara kita banyak menggunakan “Islamic pattern” seperti rajah di bawah ini:

3.2 Agama Hindu

Latar belakang perkembangan astronomi, matematik dan seni bina di India dikatakan berkait rapat dengan unsur agama. Mereka menggunakan konsep jiva dalam pengukuran sudut yang digelar Sulbasutras.

Pembinaan pentas penyembahan yang diutarakan dalam kaedah Sulbasutras mempunyai kaitan dengan ibadat korban. Kaedah Sulbasutras ini menyediakan arahan untuk dua jenis keagamaan:

1) Untuk pemujaan di rumah.

2) Untuk pemujaan bersama.

4.0 Apa dia Budaya?

Budaya ialah kepercayaan atau pengetahuan individu mengenai perhubungan atau kedudukan mereka di dunia. Budaya juga adalah sebagai tempat mempelajari kepercayaan, tradisi dan membimbing kelakuan yang dikongsi sesama ahli dalam kumpulan masyarakat.

Para pakar berpendapat budaya menggambarkan siapa dan bagaimana kita wujud di dunia ini. Ada yang berpendapat bahawa budaya berasal dari pemahaman yang diperolehi oleh manusia melalui pengalaman dan pemerhatian mengenai bagaimana hidup bermasyarakat, bagaimana untuk berinteraksi dengan keadaan alam sekeliling.

4.1 Peranan Budaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik.

Budaya memainkan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran matematik kerana ia adalah satu proses sosial. Guru dan murid-murid berkongsi kehidupan dalam masyarakat yang pelbagai budaya. Segelintir dari mereka mungkin berasal dari pelbagai kumpulan etnik. Guru dan murid-murid boleh berinteraksi dengan baik di dalam kelas walaupun berlainan bangsa.

Matematik adalah salah satu mata pelajaran yang terpenting di dunia dan ia digunakan oleh semua masyarakat. Manakala ciri-ciri pendidikan matematik itu adalah berbeza antara masyarakat yang lain. Contohnya setiap bangsa mempunyai keistimewaan warisan pemikiran serta kaedah pengiraan masa, sukatan, seni bina atau kesenian.

4.2 Sejarah Budaya

* China

China menghubungkan matematik dengan kosmologi. Buku Cina yang terawal bertajuk ‘Zhoubi Saunjing’ bermaksud “aritmetik klasik tentang jalan membulat di langit”.Dalam karya ini terdapat perbincangan tentang teorem Pithagoras. Rumus luas bulatan yang digunakan ialah A=3r² dengan R ialah jejari bulatan.

Sejarah alat kira sempoa dalam masyarakat Cina merupakan satu aspek budaya yang menarik. Kaedah tersebut dilihat sebagai budaya yang bersepadu dengan pemikiran orang Cina. Menurut para pengkaji sejarah, sempoa berasal daripada kalimah suanfa yang bermaksud perhitungan aritmetik menggunakan alat pengiraan.

* Melayu

Latar belakang masyarakat Melayu mempengaruhi bentuk pemikiran dan budaya. Dalam budaya Melayu sendiri, banyak unsur budaya yang boleh dilihat dari segi kesenian, seni bina, anyaman dan sebagainya. Contohnya konsep awan larat dalam anyaman merupakan susunan geometri yang sekata dan simetri.

Terdapat banyak permainan rakyat yang mempunyai unsur matematik. Permainan catur Melayu yang dijelmakan melalui pelbagai bentuk permainan papan catur mempunyai bentuk kombinatorik, mantik dan rekreasi. Teka-teki Melayu yang berbentuk penyelesaian masalah memerlukan penyusunan algoritma penyelesaian. Contoh paling mudah ialah kaedah petani ingin membawa kambing, sirih dan harimau ke seberang sungai dengan menggunakan sebuah sampan yang hanya muat untuk membawa dua individu dalam setiap perjalanan.

Tarian dalam tradisi Melayu yang membawa langkah tapak kaki ulangan yang sekata adalah berbentuk pemetaan yang bersifat sepadan, bersiri, penjelmaan, anjakan, putaran, dan kelembutan. Juga, pancak silat dan seni mempertahankan diri mempunyai langkah yang teratur, bersiri atau tidak bersiri serta gerakan membulat atau lurus. Musik asli seperti rebana, rebab, kecapi, serunai dan gong sudah tentulah dihubungkan dengan pelbagai jenis siri harmonik, arithmetik dan geometri dalam alunan nada dan intonasinya. Pertukaran besi yang melibatkan pelbagai alat kegunaan harian atau peperangan mempunyai seni geometri dan kesimetrian. Syair, pantun, gurindam, seloka dan nazam pula merupakan kesenian berintonasi yang mempunyai ciri yang harmoni dan bersiri.

Sukatan dan timbangan yang digunakan oleh masyarakat Melayu seperti cupak, gantang dan sebagainya ialah sukatan unik untuk masyarakat Melayu. Begitu juga timbangan mayam, saga, bungkal, koyan atau pikul, kati dan tahil mempunyai kaitan dengan sistem budaya asli atau pertembungan budaya dengan masyarakat setempat. Istilah sepelaung dan sepenanak nasi menggambarkan istilah yang lebih silam. Sepurnama, selikur dan semusim pula digunakan dalam sastera lama untuk ukuran masa.

* Arab

Orang arab menggunakan biji kurma, tulang atau batu untuk tujuan pengiraan. Objek ini diikat dengan tali dan membentuk rantaian. Contohnya tasbih boleh digunakan untuk menghitung kalimah zikir atau pengiraan umum yang lain. Selalunya, terdapat 100 biji pada setiap untaian tasbih tersebut sesuai dengan bilangan zikir yang dituntut selepas setiap kali sembahyang fardhu.

5.0 Aktiviti Persekitaran dan Budaya Matematik (Environmental activities and

Mathematics Culture

Ada 6 aktiviti matematik yang kerap digunakan oleh semua peringkat masyarakat dan budaya, Antaranya ialah:

  1. Membilang (Counting)
  2. Lokasi (Locating)
  3. Pengukuran (Measuring)
  4. Mencorak ( Designing)
  5. Menerangkan (Explaining)
  6. Bermain ( Playing)

1. Membilang (Counting)

Membilang atau mengira merupakan aktiviti yang biasa digunakan oleh semua peringkat budaya. Ini adalah kerana mengira bukan sahaja digunakan semasa belajar matematik malahan ia selalu digunakan dalam kehidupan seharian kita. Membilang atau mengira selalu dikaitkan dengan nombor dan objek.

Ada banyak sistem membilang/mengira yang digunakan oleh semua budaya termasuklah negara-negara eropah, afrika, asian dan lain-lain. Antaranya mengira menggunakan anggota tubuh badan, mengira menggunakan jari, mengira nombor yang besar dengan menggunakan kulit kerang.

Mengira menggunakan tubuh badan

Idea mengira dengan menggunakan tubuh badan ini datangnya dari Papua New Guinea dan Torres Strait. Mereka boleh mengira menggunakan tubuh badan sehingga angka 41. Kalau diperhatikan di sekolah rendah kebanyakkan murid mengira menggunakan jari, abakus dan mengira di kertas kosong.

2. Lokasi (Locating)

Lokasi bersangkut-paut dengan konsep manusia tentang:

a) Ruang fizikal atau ruang objek

b) Ruang sosio geografi (sangat penting daripada sudut pandangan matematik).

c) Ruang kosmologikal.

Ini dapat disimpulkan dari kehidupan kita seharian bahawa situasi yang berbeza menjelaskan; kiri/kanan, atas/ bawah, terhad/ tidak terhad, bahagian/ keseluruhan, lurus/ bengkok, , dalam/ jauh, tegak/ melintang dan sebagainya.

Pengetahuan Islam dari utara/ barat/ timur/ selatan adalah sama tetapi mempunyai penggunaan yang berbeza apabila dibandingkan dengan kompas Eropah.

3. Pengukuran (Measuring)

Pengukuran adalah berkaitan dengan membanding, menyusun dan menjumlahkan kuantiti yang banyak atau sedikit. Sejarah ukuran panjang, ukuran berat dan sukatan masa adalah sebahagian sukatan pengajaran dalam strategi pengajaran kemahiran-kemahiran ukuran panjang, berat, masa dan waktu. Unit ukuran berat adalah diukur dengan menggunakan berbagai-bagai jenis bahan yang terdapat dalam tanah atau barang-barang dagangan seperti biji beras dan kerbau.

4. Mencorak ( Designing)

Kebanyakan budaya atau teknologi adalah hasil penggunaan pelbagai reka bentuk contohnya dalam sebuah bangunan bumbungnya boleh dibentuk sebagai separa bulat, prizma dan piramid. Keperluan reka bentuk adalah untuk menukar atau mengubah persekitaran dengan menggunakan kayu, tanah liat (plasticine), mineral dan mencorakkannya kepada sesuatu.

5. Menerangkan (Explaining)

Menerangkan adalah dibuat dengan soalan rumit bagi “kenapa” berkenaan dengan soalan yang senang seperti berapa banyak? Dimana? Apa? Dan sebagainya.

Manusia yang mempunyai bahasa yang sama senang untuk berkongsi pendapat atau masalah antara satu dengan yang lain. Bahasa ialah faktor yang menyatupadukan pelbagai kaum di dunia ini untuk berkongsi pengalaman.

6. Bermain (Playing)

Permainan, menari dan menyanyi adalah termasuk dalam bermain sama ada secara sedar atau tidak. Semua budaya terikat dengan bermain dan mereka mengambilnya secara serius.

Permainan boleh menjadi imaginasi, realiti, ikutan, perbezaan, pertikaian, dorongan dan kegembiraan. Bermain dan permainan merupakan aktiviti kanak-kanak dan orang dewasa walaupun permainan kanak-kanak mempunyai nilai budaya yang berbeza.

5.1 Unsur-Unsur Matematik Dalam Permainan

Aktiviti permainan adalah berkait rapat dengan matematik. Setiap permainan itu mengandungi dua unsur iaitu:

1) Alatan

2) Peraturan Permainan

Dalam aktiviti permainan pula, ia menerangkan dua unsur utama iaitu simbol matematik dan prinsip matematik yang digunakan untuk menjalankan aktiviti seterusnya.

Semua budaya mempunyai banyak aktiviti bermain dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Ia juga adalah satu aspek yang penting dalam kehidupan berbudaya.

Vygotsky membantah bahawa pengaruh bermain dalam perkembangan kanak-kanak adalah sangat besar, ia adalah salah untuk memikirkan bahawa bermain itu hanyalah untuk kanak-kanak sahaja tetapi bermain itu juga merupakan untuk orang dewasa.

5.2 Permainan Dalam Matematik (Tradisi Brunei)

Antara permainan-permainan tradisi masyarakat Melayu itu ialah:

q Gasing

q Congkak

q Main Tinting

q Main Dato Harimau

q Main Tapuk-Tapukan

5.2.1 Permainan Gasing

Permainan ini dimainkan di atas permukaan bumi yang keras untuk membolehkan gasing itu untuk berpusing. Dalam permainan gasing persoalan pusat dan kesimetrian menjadi perhatian khusus.

5.2.2 Permainan Congkak

Permainan ini memerlukan dua orang pemain, pasangan lelaki atau perempuan. Dalam permainan ini, bilangan buah dalam setiap lubang mestilah sama dengan bilangan lubang. Dengan secara tidak langsung, gerak kerja kira mengira terlibat dalam permainan ini disamping itu pemain dapat mengasah daya pemikiran dan membuat kiraan secara congak dan pantas.

5.2.3 Permainan Tinting

Permainan ini memerlukan seseorang untuk membuat petak dan nombor di atas lantai atau tanah. Di dalam petak tersebut hendaklah ditulis dengan nombor iaitu 1 hingga 7. selepas itu, pemain akan melontarkan batu ke petak tersebut dan bertinting sambil melompat untuk mendapatkan semula batu yang telah dilontarkan. Permainan ini dikaitkan dengan matematik melalui penulisan nombor.

5.2.4 Permainan Dato Harimau

Permainan ini tidak menghadkan jumlah pemain, seorang saja yang menjadi Dato Harimau manakala yang lain tugasnya adalah bertanya sambil bernyanyi dan bertanya masa kepada Dato harimau. Permainan ini berhubungkait dengan matematik kerana melibatkan pertanyaan waktu atau masa, contohnya “Pukul berapa jatuh harimau?”.

5.2.5 Permainan Tapuk-Tapukan

Permainan ini melibatkan seorang untuk pencari dan mengira nombor sehingga semua yang turut bermain bersembunyi. Contohnya, pencari akan mengira nombor 1 hingga 10 dengan suara yang lantang, kemudian akan bertanya kepada rakan-rakan yang lain sama ada mereka sudah bersembunyi atau belum, sekiranya rakannya memberitahu belum, pencari akan meneruskan mengira nombor 11 hingga 20, jika rakannya memberitahu sudah bersembunyi pencari tadi akan berhenti mengira dan mula mencari rakannya yang bersembunyi. Permainan ini bolehlah dihubungkaitkan dengan matematik apabila pencari tadi mengira nombor sehingga semua rakannya bersembunyi.

6.0 Kesimpulan

Bahasa adalah konsep perkembangan yang penting dan lebih menjurus kepada kebolehan matematik seperti menjelaskan dan menerangkan. Manakala, Agama dan Budaya pula juga memainkan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik. Permainan-permainan tradisional yang dicipta oleh nenek moyang kita dahulu itu dijadikan sebagai sumber yang boleh digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran matematik, selain itu sebagai pengisi masa lapang, sumber keseronokkan dan penghibur hati.

BIBLIOGRAFI

Foster, G. W. (1999). Elementary Mathematics and Science Methods: Inquiry Teaching and Learning, New York: Wadsworth Publishing Company

Griffiths, R. & Clyne, N. (1994). Language in the Mathematics Classroom, Sydney: Eleanor Curtain Publishing.

Harris, M. (1991). Schools, Mathematics and Work, London: The Falmer Press.

Joseph, G. G. (1992). The Crest of the Peacock, New York: Penguin Books.

Lerman, S. (1994). Cultural Perspectives on the Mathematics Classroom, London: Kluwer Academic Publisher.

Mat Rofa Ismail (2004). Matematik Merentas Tamadun, Kuala Lumpur: Dawama Sdn Bhd.

Siew Hua, S. (1995). Pengajaran Matematik KBSR, Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Soon Sang, Mok (1996). Pengajian Matematik untuk Diploma Perguruan, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

No comments: