Monday 3 November 2008

PS 4305 2.11 Current Issues in maths (Malay)

PENDAHULUAN

Isu merupakan perkara yang menjadi perbincangan dan perbahasan diantara beberapa individu atau kumpulan. Ia merupakan suatu perkara semasa yang penting untuk di bincangkan. Jika dilihat di dalam rancangan televisyen, keratan-keratan akhbar dan internet terdapat bermacam-macam perkara yang masih dibahaskan dan dibincangkan, dan isu-isu ini timbul dari berbagai-bagai bidang seperti isu dalam bidang sains, geografi, teknologi dan lain-lain lagi. Ini membuktikan terdapat banyak perkara yang menjadi isu di dunia ini, apatah lagi pada zaman yang moden dan canggih ini, banyak isu yang timbul yang memerlukan pebincangan, perbahasan dan mungkin juga memerlukan penyelidikan, penemuan dan juga jawapan. Begitu juga, dalam bidang Matematik sendiri terdapat pelbagai isu yang timbul, akan tetapi dalam dalam kertas kerja ini, penulis hanya akan membincangkan isu-isu semasa dalam pendidikan Matematik sahaja.

ISU-ISU SEMASA DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK

Sejak dahulu hingga pada zaman yang serba canggih ini terdapat banyak perkara yang menjadi isu dan menjadi perbincangan dan perdebatan hangat diantara penyelidik dan juga cendekiawan khususnya dalam bidang matematik. Diantara isu yang menjadi perbincangan dalam pendidikan matematik adalah seperti berikut:

  1. Isu sosial,
  2. Masalah pembelajaran, termasuk miskonsepsi, pencapaian, prestasi, kepercayaan dan sikap murid atau guru terhadap matematik,
  3. Bahasa,
  4. Penggunaan teknologi maklumat (komputer dan kalkulator),
  5. Pendidikan khas,
  6. Pendidikan inklusif,
  7. Peranan mental.

Di bawah ini penulis menghuraikan dan menerangkan dengan lebih mendalam lagi isu-isu semasa dalam pendidikan Matematik :

1. Isu Sosial

Pergaulan dan interaksi diantara dua pihak atau lebih sangat penting untuk pencapaian dan kemajuan diri seseorang. Ada banyak perkara yang terkandung dalam isu sosial, diantaranya ialah gender, ras (race), taraf dan juga ekuiti.

Gender

Dalam bidang pendidikan matematik isu gender menjadi perbincangan kerana berlakunya ketidaksamaan di antara pelajar lelaki dengan pelajar perempuan dalam mata pelajaran matematik, seperti ‘benarkah keupayaan atau kebolehan pelajar lelaki dalam memahami pelajaran matematik lebih baik berbanding pelajar perempuan?’. Walhal pada hakikatnya di zaman yang serba canggih ini, pendapat yang mengatakan lelaki lebih pintar daripada perempuan itu sudah dianggap lapuk dan tidak boleh dipakai lagi. Ini kerana dewasa ini banyak pekerjaan yang bersangkut paut dengan bidang matematik bukan sahaja dijawat oleh golongan lelaki malah kebanyakannya dimonopoli oleh golongan perempuan seperti guru matematik, arkitek, engineering dan sebagainya, dan ini telah membuktikan golongan wanita lebih bijak mendapat pekerjaan sedemikian berbanding lelaki.

Ras (race)

Isu ras juga menjadi pebincangan dalam pendidikan matematik dan ia merupakan perkara yang menyentuh tentang kaum yang pintar dan berkemahiran dalam pendidikan matematik. Ada pendapat yang menyatakan bahawa golongan yang bijak dan pandai dalam penguasaan matematik adalah terdiri dari orang-orang berkulit putih dan orang ASEAN (seperti bangsa Cina dan India dan Jepun). Sementara bangsa Melayu pula dikatakan agak mundur dalam menguasai matematik, manakala golongan bangsa Siam pula dikatakan agak kurang mahir dalam menguasai matematik. Golongan ini sering diletakkan dalam kedudukan yang agak bawah.

Menurut pendapat penulis, perbezaan bangsa bukanlah menjadi faktor mengapa seseorang itu maju atau mundur dalam menguasai pelajaran matematik. Ini kerana kebolehan dalam menguasai matematik sama sekali tidak bergantung kepada sesebuah bangsa tetapi ia mungkin disebabkan oleh faktor persekitaran disekeliling mereka dan usaha mereka bagi mengecapi prestasi yang baik dalam pelajaran matematik. Contohnya, kebanyakkan orang bertanggapan pelajar berbangsa Cina merupakan bangsa yang pintar dan berkemahiran dalam pendidikan matematik, tetapi para pengkaji mendapati bahawa pelajar berbangsa Cina lebih pintar dalam menguasai matematik sebenarnya adalah kerana ketekunan dan kerja keras mereka mempelajari serta memahami pelajaran matematik itu dengan lebih mendalam lagi. Selain itu, mereka berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mendapatkan markah yang lebih baik dalam pelajaran matematik. Begitu juga bangsa India, mereka belajar dengan cara memahami sesuatu konsep matematik itu dan mereka rajin membuat ulangkaji bagi pelajaran matematik. Jelaslah disini bahawa penguasaan matematik bergantung kepada usaha individu dalam mempelajari dan memahami konsep matematik itu sendiri.

Ekuiti

Dalam bidang pendidikan umumnya, semua pelajar harus diberi peluang untuk belajar tidak mengira bangsa, keturunan dan ugama sekalipun untuk berjaya dan beroleh ilmu pengetahuan. Begitu juga, masyarakat perlu memberikan peluang pada setiap pelajar untuk mempelajari bidang matematik.

Selain itu, isu ekuiti juga menyentuh tentang budaya atau tamadun yang mempunyai cara-cara pengiraan mereka yang tersediri dan berbeza dengan budaya atau bangsa yang lain untuk mengira dan membuat penyelesaian berkenaan dengan permasalahan matematik, sebagai contoh masyarakat Cina menggunakan sempoa untuk mengira. Dalam bidang pendidikan Matematik di Negara Brunei Darussalam, kita menurut cara pengiraan atau formula yang digunakan dari negara barat.

2. Masalah Pembelajaran

Masalah pembelajaran matematik merupakan isu yang dipandang serius dalam pendidikan matematik. Terdapat banyak perkara yang menyebabkan timbulnya isu masalah pembelajaran dalam bidang matematik dan antaranya ialah minat, sikap murid, sikap guru dan motivasi pelajar. Golongan yang sering bermasalah dalam memahami dan mempelajari matematik adalah golongan yang mempunyai tahap intelektual yang lemah dan mereka ini memerlukan bimbingan atau pendidikan khas dari guru untuk membantunya menguasai pelajaran matematik tersebut. Masalah pembelajaran murid-murid dalam mata pelajaran matematik yang juga sering menjadi isu ialah tentang kurangnya motivasi daripada ibubapa, keluarga, dan guru dan kawan-kawan.

Selain itu, faktor yang boleh dikaitkan dalam masalah pembelajaran matematik ini ialah kegelisahan pelajar atau murid-murid dalam mempelajari konsep dan bahasa matematik. Masalah kegelisahan pelajar dalam mempelajari matematik ini boleh menjejaskan prestasi dan pencapaian mereka di dalam kelas dan juga ketika menjalani ujian dan peperiksaan. Satu kajian oleh Pensyarah UITM di Perlis (Bestari, 2005) menyatakan bahawa pelajar keturunan Siam paling gelisah untuk mempelajari matematik berbanding dengan pelajar lain. Kemudian diikuti oleh pelajar Melayu, India dan seterusnya pelajar Cina. Pelajar Cina dan India dikatakan kurang bermasalah dalam matematik kerana mereka sentiasa berusaha untuk memahami konsep pembelajaran matematik. Pelajar Melayu juga pada masa sekarang semakin membangun dan maju dalam bidang matematik.

Miskonsepsi

Miskonsepsi bermaksud salah anggap untuk memahami sesuatu konsep. Banyak perkara yang menyebabkan murid tersalah anggap terhadap sesuatu konsep matematik, ini mungkin disebabkan pelajar keliru memahami sesuatu konsep yang diajarkan semasa pengajaran dan pembelajaran matematik. Seperti dalam pembelajaran arithmatik, kekeliruan berlaku disebabkan murid-murid di sekolah rendah pada zaman dahulu sehinggalah masa kini masih lagi mengamalkan sistem hafalan dalam pembelajaran mereka tanpa memahami konsep sebenar pembelajaran matematik. Kaedah-kaedah yang sering digunakan oleh guru-guru dalam mengajar matematik adalah sistem pengajaran cara lama atau tradisional yang menjadikan murid-murid sebagai penerima yang pasif dan tidak boleh menyoal atau bercakap sewaktu guru menerangkan sesuatu tajuk dalam mata pelajaran matematik itu. Oleh kerana kurangnya interaksi antara murid dengan murid dan antara guru dengan murid maka murid menerima seratus peratus keterangan dari guru dan persoalan tentang sesuatu konsep yang kurang difahami tidak dapat dijelaskan dan ini akan menyebabkan murid salah aggap terhadap sesuatu konsep matematik itu.

Miskonsepsi juga timbul mungkin kerana guru hanya mementingkan cara penyelesaian masalah dengan menggunakan formula tanpa membincangkan atau bersoal jawab tentang sesuatu konsep atau masalah matematik itu. Guru kurang memberi perhatian terhadap kefahaman murid-murid kerana bagi mereka perkara yang dianggap penting ialah mereka perlu menghabiskan syllabus pengajarannya sebelum akhir tahun tanpa memikirkan kesan pembelajaran murid terhadap pendidikan matematik.

Pencapaian & Prestasi

Pencapaian dan prestasi merupakan perkara yang dipengaruhi oleh minat dan sikap serta kecenderungan seseorang pelajar dan guru terhadap pelajaran matematik. Sebagai contoh, seseorang pelajar yang minat pelajaran matematik akan menumpukan lebih perhatian terhadap pelajaran tersebut dan seterusnya dapat mencapai prestasi yang baik terhadap pelajaran tersebut. Begitu juga, seorang guru yang mahir dan minat dalam mata pelajaran matematik, akan dapat menyampaikan pengajarannya dengan lebih berkesan dan bermakna. Ini kerana guru tersebut mahir dan tahu akan selok belok pengajaran yang akan disampaikan itu. Seterusnya, guru tersebut dapat menarik minat serta perhatian murid di dalam kelas. Selanjutnya, murid-murid itu dapat mencapai prestasi yang ingin dicapai oleh guru mereka.

Selain itu juga, pencapaian dan prestasi juga turut dipengaruhi oleh faktor luaran. Antara faktor-faktor tersebut ialah:

Latar Belakang Pelajar

Latar belakang pelajar adalah merujuk kepada keadaan diri pelajar itu sendiri dan juga faktor baka pelajar tersebut. Antara isu tentang latar belakang yang dipersoalkan ialah seperti, adakah pelajar itu lahir dari golongan yang mempunyai taraf kehidupan yang terpelajar seperti ibu bapa yang terpelajar dan sebagainya. Jika pelajar datang dari latar belakang yang terpelajar dan tidak mempunyai sebarang masalah, maka mungkin pelajar tersebut tidak akan menghadapi banyak masalah dalam semua mata pelajaran umumnya dan bagi subjek matematik khasnya. Selain itu, Faktor baka juga di katakan boleh mempengaruhi tahap kecerdasan dan kepintaran para pelajar. Anak yang lahir daripada ibu bapa yang tinggi IQ atau pintar dikatakan akan menyebabkan lahirnya anak yang jua mempunyai IQ yang tinggi dan sangat mudah dilentur dan dididik. Dalam ajaran agama Islam juga ada menyarankan supaya lelaki atau perempuan tidak berkahwin dengan saudara terdekat seperti sepupu sekali kerana mungkin anak yang bakal dilahirkan nanti kurang cergas dan pintar.

Alat Bantu Mengajar

Alat bantu mengajar yang digunakan sewaktu sessi pengajaran guru dan pembelajaran murid memainkan peranan penting dalam pemahaman murid terhadap tajuk yang disampikan. Ia haruslah bersesuaian dengan tahap pemikiran murid dan tajuk yang hendak diajarkan dalam tempoh tertentu. Antara contoh alat bantu mengajar dalam pembelajaran ialah bahan-bahan rujukan, buku-buku teks, bahan konkrit dan sebagainya. Jika para pelajar rajin atau selalu menggunakan bahan rujukan selain daripada yang disediakan oleh sekolah dan guru, besar kemungkinan pelajar itu akan berjaya dan jika sebaliknya, pelajar mungkin juga boleh berjaya tetapi tidakalah secemerlang pelajar yang berusaha dengan lebih gigih. Begitu juga, pemilihan ABM yang digunakan oleh guru mestilah bersesuaian dengan tajuk yang diajarkan semasa pengajaran dan pembelajaran matematik dan dapat pula dimanipulasi oleh semua murid-murid yang belajar matematik di dalam bilik darjah tersebut.

Guru

Guru berperanan penting bagi membantu murid untuk mencapai tahap prestasi yang baik dalam pembelajaran matematik. Selain dari tugas seorang guru menjadi pengajar dan penyampai maklumat, ia juga berperanan sebagai fasilitator dan pembimbing kepada murid-murid dan ia juga memainkan peranannya dalam memastikan semua murid dapat memahami pengajaran yang disampaikan. Sepertimana yang kita sudah sedia maklum, peranan guru adalah amat penting dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar. Keberkesanan pengajarannya adalah bergantung kepada kaedah atau pendekatan yang digunakan dalam pengajaran yang melibatkan penyertaan murid-murid di dalam kelas seperti pembelajaran koperatif, pembelajaran kolaboratif, kaedah projek, kaedah bermain, kaedah inkuiri dan sebagainya. Seseorang guru yang tidak aktif (pasif) akan meyebabkan pembelajaran pasif yang akan menzahirkan pembelajaran yang membosankan. Guru hendaklah mahir dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya para pelajar tidak akan mudah berasa bosan terhadap pelajaran terutamamnya bagi subjek matematik yang memerlukan tumpuan sepenuhnya daripada pelajar. Para pengajar juga harus memberi galakkan dan semangat kepada para pelajar supaya para pelajar akan berasa lebih yakin dan percaya kepada kebolehan diri sendiri dan kemampuan mereka dalam menyelesaikan masalah matematik yang diberikan kepada mereka. Jika tidak, sudah tentu para pelajar akan mudah berputus asa dan mudah mengalah serta berasa benci terhadap pelajaran matematik. Ini akan mengakibatkan kesan buruk terhadap pencapaian dan prestasi pelajar dalam pelajaran matematik.

Ibu Bapa dan Keluarga

Motivasi, perhatian dan bimbingan serta galakan dari ibubapa dan keluarga sangat penting untuk kemajuan prestasi dan pencapaian pelajar atau murid-murid dalam pembelajarannya, kerana tanpa perhatian dan bimbingan serta galakan yang cukup daripada ibu bapa dan keluarga, murid-murid mungkin kurang motivasi dan kurang berkeupayaan dalam memajukan diri di bidang pelajaran. Antara peranan ibu bapa dalam membantu menaikkan prestasi murid terhadap pelajaran matematik selain dari perhatian, bimbingan dan galakan yang harus dberikan kepada anak mereka, ibu bapa juga berperanan dalam membetulkan tanggapan salah sesetengah masyarakat yang mengatakan pelajaran matematik merupakan pelajaran yang sukar. Mereka juga hendaklah bekerjasama dengan guru dalam memastikan kerja rumah yang diberikan kepada mereka dapat diselesaikan. Semasa murid membuat kerja rumah atau mengulang kaji pelajaran matematik, ibu bapa yang mahir dan pandai dalam pelajaran matematik juga boleh membantu dalam menyelesaikan masalah matematik. Selain guru, ibu bapa juga boleh memeriksa buku-buku anak-anak mereka dan memberikan kata-kata pujian dan rangsangan supaya anak-anak akan lebih bermotivasi untuk belajar sehingga mendapat kecemerlangan.

Namun demikian, terdapat juga segelintir ibu bapa dan keluarga Melayu di kampong yang tidak dapat membantu pelajar terutamanya bagi pelajaran matematik dan sains. Mereka menganggap pelajaran ini sangat susah dan membosankan. Sebaliknya mereka lebih suka mendapatkan bantuan anak-anak untuk melakukan kerja-kerja harian. Ini akan membuatkan pelajar kurang motivasi dan kurang berkeyakinan dalam menyelesaikakn masalah matematik.

Sosio Ekonomi

Sosio-ekonomi juga menjadi faktor utama dalam pencapaian dan prestasi murid-murid dalam pembelajaran. Ibubapa yang berkemampuan dan mempunyai pendapatan yang tinggi akan dapat menghantar anak-anak mereka belajar untuk melanjutkan pelajaran sehingga mendapat kejayaan yang cemerlang di peringkat yang lebih tinggi lagi. Berlainan pula dengan ibu bapa yang mempunyai pendapatan ekonomi yang rendah, mereka tidak dapat memenuhi hasrat untuk melihat kejayaan anak-anaknya di dalam bidang pelajaran berikutan dengan kurangnya kemampuan untuk melakukan sedemikian.

Suasana Persekitaran

Selain perkara-perkara yang disebutkan di atas, faktor yang boleh mempengaruhi pencapaian dan prestasi murid-murid ialah keadaan persekitaran termasuk suasana kehidupan pelajar dan keadaan kehidupan dan masyarakat sekelilng mereka. Persekitaran yang baik dan bersih serta tenang akan membantu murid-murid untuk berjaya dalam pelajaran sebaliknya jika persekitaran di sekelilignya agak bising dan sibuk maka pembeelajaran para pelajar akan terganggu.

Berbanding pelajar kaum lain, pelajar Melayu merupakan kaum yang mudah terpedaya terhadap tarikan luar seperti hiburan, aktiviti lepak bersama kawan-kawan dan pelbagai aktiviti lain yang melalaikan mereka daripada mengisi masa untuk belajar. Jika pelajar rajin mengulangkaji pelajaran maka selamatlah pelajar daripada melakukan perkara-perkar yang tidak berfaedah.

Media Massa

Media massa merupakan media perantaraan yang juga berperanan penting dalam pendidikan matematik. Pendedahan dari media massa berkaitan sama ada dari surat khabar, journal dan sebagainya berkaitan matematik akan dapat membantu meningkatkan prestasi murid-murid. Sebagai contoh, media massa dapat membantu pelajar dan ibu bapa serta masyarakat mendapatkan ilmu mengenai matematik dan mengetahui tentang kepentingan matematik terhadap kehidupan seharian mereka.

Kepercayaan

Kelemahan dan kepincangan yang berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap pendidikan matematik antaranya berpunca daripada kepercayaan. Kepercayaan guru tentang pengetahuan matematik boleh dipindahkan daripada guru kepada murid dalam bentuk yang serba lengkap. Ditambah pula dengan kelemahan dalam penguasaan isi kandungan serta kejahilan di dalam memilih pendekatan dan kaedah serta teknik terbaik untuk menyampaikan sesuatu konsep kepada pelajar.

Untuk menolak pandangan di atas, setiap guru perlu berpegang kepada kepercayaan konstruktivis;

1. Suka mengesan konsep alternatif di kalangan pelajar,

2. Mempunyai pelbagai strategi dan teknik pengajaran,

3. Memilih dan menggunakan strategi pengajaran yang paling berkesan untuk memperkenalkan sesuatu konsep,

4. Sering menjalankan penilaian kendiri terhadap amalan pengajaran mereka, berbanding dengan guru-guru yang berpegang kepada kepercayaan empiris.

Kepercayaan kolot yang kononnnya guru adalah segalanya iaitu semua yang disampikan oleh guru adalah betul dan benar, dan tidak boleh di canggah sebenarnya merupakan satu kepercayaan yang salah. adalah satu kepercayaan yang salah. Dewasa ini, terdapat pelajar atau murid-murid yang lebih bijak dan bekebolehan daripada guru. Contohnya dalam pengajaran matematik, kebanyakkan guru hanya menggunakan buku teks dan formula-formula yang tecatat pada buku teks tersebut tanpa membuat penyelesaiana masalah dengan menggunakan ataupun mencipta jalan penyelesaian yang baru. Tetapi ada dikalangan pelajar yang mampu mencipta jalan penyelesaian yang baru tanpa bergantung kepad buku teks dan guru semata-mata.

3. Bahasa

Pendidikan Matematik bagi Sekolah Rendah di Brunei, diaplikasikan dengan menggunakan dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris. Pendidikan matematik aliran melayu diajarkan kepada murid-murid di sekolah rendah bawah aitu sedari darjah satu hingga darjah empat. Sementara pendidikan matematik yang menggunakan bahasa Inggeris diajarkan kepada murid-murid atau pelajar bermula dari sekolah rendah atas dan seterusnya ke sekolah menengah dan lanjutan tinggi. Disebabkan dua bahasa ini murid-murid sekolah rendah didapati begitu lemah dalam matematik terutama dalam Bahasa Inggeris. Di samping itu, kelemahan dan kemunduran prestasi dan pencapaian murid-murid dalam pembelajaran matematik adalah di sebabkan oleh kurangnya pemahaman murid terhadap konsep pendidikan matematik dan b bahasa yang digunakan dalam matematik adalah berbeza daripada bahasa Inggeris atau Melayu baku. Ini kerana matematik mempunyai bahasa yang tersendiri dan universal. Oleh yang demikian, sebelum guru memulakan sesuatu pengajarannya terlebih dahulu guru haruslah menerangkan tentang bahasa-bahasa serta simbol-simbol yang digunakan dalam pelajaran matematik. Ini bertujuan untuk mengelak dari berlakunya sebarang kekeliruan dan ketidakfahaman terhadap pelajaran matematik itu.

4. Penggunaan teknologi maklumat (komputer dan kalkulator)

Penggunaan teknologi maklumat seperti komputer dan kalkulator dalam pengajaran dan pembelajaran matematik ini juga telah menjadi isu hangat yang sering di bincangkan oleh para pengkaji bidang matematik. Ada sesetengah pengkaji bersetuju dengan penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan matematik dan sesetengah yang lain pula tidak bersetuju atau kurang bersetuju dengan penggunaan alat teknologi masa kini.

Dalam konteks lain, penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik adalah serentak dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam dunia globalisasi yang lebih dikenali sebagai Dunia Tanpa Sempadan. Kehadiran teknologi dalam pengurusan sistem pendidikan khususnya telah membuka peluang baru untuk memajukan bidang pendidikan. Teknologi moden juga dapat menyediakan dan membantu pelajar-pelajar untuk menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21 atau dengan kata lain cabaran era teknologi. Di samping itu, ia juga dapat menarik minat dan perhatian pelajar untuk meneroka bidang matematik dengan lebih meluas lagi. Dengan cara ini akan membantu kita menolak pandangan lama yang mengatakan penggunaan teknologi adalah melalaikan dan menjadikan pelajar malas untuk berfikir. Sebenarnya, buruk baiknya teknologi itu bergantung kepada penggunaan individu dan sebagai guru haruslah pandai menjalankan tugas seperto memerhati dan membimbing pelajar supaya tidak tersasar dari tujuan sebenar iaitu mengunakan kemudahan teknologi maklumat untuk belajar.

Penggunaan teknologi banyak mendatangkan hasil yang positif kepada pelajar dan mampu meningkatkan tahap kecerdasan dan prestasi akademik pelajar. Antara lain kaedah baru berperanan sebagai:-

- Mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi guru seperti dalam kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran dan pembelajaran.

- Membantu meningkatkan pengetahuan dan pengalaman guru dan murid terhadap pelajaran matematik.

- Mengembangkan pemikiran dan minda pelajar mengenai matematik.

5. Pendidikan khas

Pendidikan khas adalah kaedah-kaedah yang dibentuk khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang mengalami pelbagai kecacatan/kurang upaya (istimewa). Ia merangkumi aspek-aspek pengajaran dan pembelajaran, latihan jasmani dan juga pendidikan yang berteraskan rumah, hospital dan institusi. Pendidikan khas ini adalah sebahagian daripada kurikulum biasa yang telah diubahsuai dengan tujuan memenuhi keperluan-keperluan khas bagi murid-murid yang mengalami pelbagai jenis kecacatan atau kurang upaya, dan untuk menolak pandangan lama yang mengatakan golongan kurang upaya tidak dapat belajar bersama-sama golongan normal.

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara Brunei Darussalam yang mahukan sistem pendidikan di negara kita yang boleh melahirkan pelajar yang seimbang dalam semua aspek. Murid-murid yang berkeperluan khas di sekolah-sekolah di Brunei diajar oleh guru yang sama tetapi dibantu oleh guru sumber yang terlatih dalam program pendidikan khas (LAT/SENA).

Dalam pengendalian pendidikan khas banyak lagi perkara-perkara dan isu yang masih perlu diberi perhatian dan penekanan misalnya:-

1. Perlu wujud kerjasama dan usahasama bagi merancang dan menyediakan peluang pendidikan bagi murid-murid keperluan khas.

2. Pihak pengurus, ibu bapa dan seluruh masyarakat sekolah perlu bersama berusaha menukar sikap dan menjayakan penerimaan murid-murid berkeperluaan khas dalam sistem persekolahan biasa dan normal.

3. Isu-isu seperti intervensi awal bagi menyediakan kanak-kanak supaya bersedia memasuki alam persekolahan adalah amat penting ditekankan.

4. Adalah penting bagi ibu bapa dan masyarakat menyambung dan memperkukuhkan lagi usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak sekolah dan rumah bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran murid-murid berkeperluan khas.

5. Sudah sampai masanya masyarakat untuk mengubah sikap dan membuat persediaan supaya menerima golongan khas sebagai rakan. Bagi melaksanakan perkara ini usaha yang sepadu dan tindakan yang teratur dan tersusun perlu dibuat dan diharapkan.

6. Pendidikan Inklusif

Pendidikan inklusif merujuk kepada pendidikan yang disediakn bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran belajar di dalam bilik darjah biasa bersama-sama pelajar-pelajar yang seusia dengannya. Pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran ini akan mendapat bimbingan dari seorang guru khas yang bekerjasama dengan guru kelas agar pelajar-pelajari ini akan dapat memahami konsep yang disampaikan dengan lebih efektif lagi. Dalam pendidikan inklusif, semua murid dimasukkan dalam satu bilik darjah yang sama dan mereka tergolong dari kumpulan murid cerdas, serdahana dan lemah.

Dalam pendidikan matematik isu pendidikan inklusif juga di timbulkan dan menjadi perbincangan semasa. Isu seperti patutkah pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran disatukan dalam kelas yang sama pelajar biasa?. Terdapat kajian yang di perolehi oleh beberapa pengkaji, menunjukan pengajaran secara kumpulan mengikut kebolehan adalah lebih berkesan daripada mengajar kesemua murid secara keseluruhan. Penulis menyokong dan bersetuju dengan pendapat ini, kerana belajar dalam bilik darjah berlainan kebolehan akan membantu murid-murid yang lemah untuk meluahkan pandangan dan idea berhubung dengan persoalan-persoalan yang di timbulkan oleh guru. Gabungan idea yang mantap akan menghasilkan mutu kerja yang berkualiti. Ini juga akan membantu murid-murid untuk menjadi lebih kritis dan tidak berharap dengan jawapan guru semata-mata. Di samping itu, secara langsung akan membantu murid-murid lemah untuk sama-sama belajar dan merasa hasilnya. Kejayaan yang diperolehi akan lebih memotivasikan pelajar untuk menjadi lebih pintar. Golongan yang kurang upaya juga boleh bersosial dengan berkomunikasi dan membantu pelajar lain dalam menyelesaikan tugasan dengan kawalan dan perhatian guru kelas.

Melalui cara pengumpulan ini, guru boleh merancang strategi pengajaran berdasarkan kebolehan murid supaya mereka dapat mengikuti penyampaian guru dengan lebih mudah dan berkesan. Guru juga boleh merancang latihan dan aktiviti pengkayaan untuk kumpulan cerdas dan sederhana serta aktiviti pemulihan untuk kumpulan lambat mengikut kebolehan dan tahap kecerdasan masing-masing. Pengumpulan murid-murid mengikut kebolehan amat sesuai digunakan untuk aktiviti pengukuhan dalam pembelajaran matematik. Aktiviti pengukuhan bagi kumpulan cerdas dan sedarhana ialah aktiviti pengkayaan. Manakala bagi kumpulan lambat lebih sesuai diberi aktiviti pemulihan. Kedua-dua aktiviti ini selalunya dilaksanakan selepas menyelesaikan suatu latihan iaitu sebelum masa berakhir.

Dalam program pemulihan, Guru hendaklah mengesan mana-mana murid yang menghadapi masalah dalam menguasai kemahiran yang baru diajarkan melalui ujian, pemerhatian atau soalan secara lisan. Selepas itu, guru perlu merancang aktivtii pemulihan berdasarkan kebolehan murid itu supaya kelemahannya dapat diperbaiki.

Cara perlaksanaan aktiviti ini adalah dari aktiviti yang lebih mudah berdasarkan pengalaman dan pengetahuan murid yang sedia ada ke aktiviti yang sukar (yang lebih mencabar). Untuk membantu murid menguasai kemahiran itu, guru haruslah menggunakan banyak alat bantuan mengajar semasa menyampaikan konsep dan kemahiran matematik itu.

Program pengayaan dan pemulihan boleh dilakukan di dalam kelas pada tiap-tiap waktu pengajaran. Penulis berkata demikian adalah kerana, pada awal pengajaran murid-murid telah diterangkan tentang tajuk yang diajarkan sebelum membuat latihan, dan apabila semasa latihan berlangsung guru mendapati ada diantara murid-murid yang tidak boleh menyelesaikannya, maka akan di bawa ke sudut atau meja guru dan guru akan membuat penerangan kepada murid tersebut dengan menggunakan strategi lain, iaitu strategi yang agak mudah serta memberikan murid kerja latihan yang agak mudah untuk murid itu menyelesaikannya. Manakala untuk murid yang cerdas yang dapat menyelesaikan tugasannya lebih awal akan di beri kerja latihan tambahan yang sedikit mencabar untuk menajamkan lagi minda murid-murid dalam berfikir.

7. Peranan Mental

Dari dahulu lagi manusia menggunakan otak dan mental untuk berfikir. Begitu juga halnya dengan pendidikan matematik. Dalam mempelajari matematik, mental memainkan peranan penting untuk menganggap dan memahami konsep yang diajar. Seperti juga pendidikan matematik pada zaman ini, memerlukan kebijaksanaan kanak-kanak dalam menggunakan pemikiran mereka untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berhubung dengan matematik. Untuk menyelesaikan masalah tersebut mereka disarankan untuk menggunakan pelbagai kaedah yang menjerumuskan ke arah pemikiran mental. Kaedah-kaedah tersebut adalah seperti kaedah-kaedah perbincangan, kaedah inkuri penemuan, kaedah kaji selidik, kaedah demonstrasi dan sebagainya. Ia bertujuan agar murid-murid mahir dalam mengaplikasikan sesuatu penyelesaian masalah tanpa menggunakan kertas dan pensel. Mental juga berperanan supaya pelajar atau murid-murid bijak berfikir dan tidak mengharapkan dari guru semata-mata serta membimbing murid-murid untuk berdikari dan mempelajari sesuatu yang baru hasil sari penemuan dan kaji selidik bersama rakan-rakan sekumpulannya.

KESIMPULAN

Seperti yang telah dinyatakan dan dihuraikan di atas, penulis dapati banyak perkara yang menjadi isu dalam pendidikan Matematik yang sentiasa menjadi perbincangan Diantara yang telah disentuh oleh penulis ialah isu sosial, masalah pembelajaran, bahasa, kaedah baru, pendidikan inklusif, keperluan khas, peranan mental. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak lagi perkara dalam bidang matematik yang boleh dijadikan isu untuk dibincangkan dan mungkin memerlukan jawapan.

Secara keseluruhannya, masyarakat haruslah peka terhadap isu-isu semasa yang berkait rapat dengan pendidikan matematik. Ini kerana dari isu-isu tersebut semua pihak dapat menilai dan menangani sesuatu masalah yang timbul. Dari situ juga, membantu masyarakat untuk berfikir secara rasional dan jangan terlalu berfikiran negatif.

No comments: