Monday 3 November 2008

PS 4305 2.12 Problems in the teaching and learning of maths (Malay)

MASALAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

SEPERTI MOTIVASI, SIKAP DAN PRESTASi

PENDAHULUAN

Tanpa disedari, kita selalu berhadapan dengan matematik dalam kehidupan seharian. Setiap perkara yang dilakukan tentu secara langsung atau pun sebaliknya berkaitan dengan matematik, seperti melihat waktu, membeli belah dan sebagainya. Matematik merupakan salah satu subjek penting yang perlu dipelajari dan setiap pelajar wajib lulus untuk membolehkan mereka menapak ke peringkat seterusnya dalam peperiksaan. Oleh itu, seringkali terdengar guru matematik, mengeluh mengenai dengan pencapaian murid mereka dalam matematik.

MASALAH-MASALAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

Masalah yang terdapat dalam matematik boleh dikategorikan kepada dua bahagian besar, iaitu;

ü Masalah Pengajaran Guru

ü Masalah Pembelajaran Murid

MASALAH PENGAJARAN GURU

Dari segi pengajaran guru, masalah-masalah yang sering berlaku boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian, iaitu:

Guru Matematik

Sebilangan sekolah di bandar mahupun di pedalaman, mengalami masalah kurangnya guru-guru yang berpengalaman dalam mengajar matematik. Tidak semua guru mempunyai minat yang sama terhadap semua subjek yang terdapat dalam kurikulum sekolah. Akibatnya, sebilangan guru tidak bersemangat dan dedikasi dalam menyampaikan sesuatu pengajaran. Guru seperti ini selalunya tiada initiatif untuk mempertingkatkan teknik pengajaran supaya ia dapat dijalankan dengan bermakna dan menarik.

Guru juga menjadi pokok pembentukkan pembelajaran kanak-kanak samada positif atau negatif. Guru yang tidak berminat dalam pengajaran mereka selalunya hanya akan mengaplikasikan teknik pengajaran yang mudah seperti strategi pemusatan guru, contohnya seperti ‘chalk and talk’ atau berpandukan kepada buku teks semata-mata.

Sikap guru juga memainkan peranan penting. Ada juga guru yang memperlihatkan sikap autokratik, terlampau mengkritik dan kurang mesra sesama murid, membuatkan murid tidak merasa ‘selamat’ dengan situasi di dalam bilik darjah.

Sebilangan guru matematik kurang menghadiri kursus atau seminar mengenai dengan pengajaran dan pembelajaran matematik, menjadikan teknik pengajaran mereka masih diperingkat lapuk. Kesan daripada senario ini, murid-murid kurang bermotivasi dalam mempelajari apa yang telah diajarkan sekaligus hilang tumpuan dalam pembelajaran mereka.

Buku teks

Seperti juga Malaysia dan Singapura, Brunei tidak terkecuali dari mempunyai sukatan pelajaran yang agak besar jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Dan ini menjadi satu masalah kepada guru untuk menghabiskannya dalam masa setahun. Kadangkala ada setengah topik dalam sukatan matematik tidak ada di dalam buku teks dan terdapat sedikit kesukaran dalam isi untuk murid-murid sekolah rendah yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan mudah putus asa.

Adalah menjadi satu kewajiban bagi seorang guru itu untuk menyelesaikan semua sukatan, dari itu guru-guru lebih cenderung untuk menghabiskan sukatan yang telah ditentukan berbanding dengan kefahaman murid tentang sesuatu topik sekaligus menyebabkan murid-murid ini menghadapi masalah dalam peperiksaan.

Tempoh atau masa yang diperuntukkan yang digubal oleh pihak kurikulum tidak begitu selari dengan kalendar tahunan sebenar sekolah kerana dalam tempoh setahun murid-murid ini ada yang melibatkan diri dengan beberapa acara tahunan dan disebabkan ini ada setengah murid ketinggalan dalam pelajarannya.

Metode Pengajaran dan Pembelajaran

Tiada kepelbagaian dalam pengajaran matematik. Guru tiada kreativiti dalam penyampaian sesuatu topik, konsep, terma matematik yang mungkin disebabkan oleh tiada pengambilan khusus semasa dalam pengajian mereka. Oleh kerana guru kurang memahami tajuk yang akan diajarkan jadi ia akan menyukarkan lagi proses penyampaian kepada murid.

Professor Celment, Veloo dan Ali Hamdani (Jabatan Pendidikan Kurikulum, 2003), menyatakan bahawa,

“In Brunei Darussalam traditional skill-drill approaches to teaching and

learning mathematics at all level are not working”

dan ini juga adalah penyebab utama pencapaian dan pemahaman murid-murid tentang sesuatu konsep itu berkurangan.

Sistem Pengajaran dan Pembelajaran

Guru mengajar tanpa memastikan murid memahami sesuatu konsep atau formula yang diajarkan. Guru lebih mementingkan pencapaian peperiksaan murid agar nama baik guru dan pandangan orang terhadap guru sentiasa positif, sedangkan, kepentingan murid iaitu pemahaman mereka pada konsep matematik di ketepikan (exam oriented). Guru lebih gemar mengamalkan kaedah latih tubi dalam pengajaran dan pembelajaran agar murid terbiasa dengan kaedah atau formula yang baru diajarkan. Selain itu juga teknik hafalan menjadi satu jalan mudah. Dan ini jelas memperlihatkan bahawa guru lebih mementingkan hasil murid dari pemahaman murid.

Menurut Datuk Seri Mohd. Najib (Utusan Malaysia, 2005),

“Penguasaan murid terhadap matematik ini penting dan menjadi teras sekiranya seseorang murid ingin menceburi dalam kerjaya yang ada kaitan dengan keperluan masa kini dan akan datang. Jika seseorang itu lemah dalam Matematik, mereka tidak boleh mengikuti pengajian dalam bidang seperti kejuruteraan, perubatan, perakaunan dan komputer sains.”

Sumber dan Kemudahan

Beberapa sekolah di Brunei, terutama di kawasan pedalaman, kekurangan alatan mengajar matematik seperti kompas, set geometri dan sebagainya. Oleh itu, topik yang memerlukan alatan tersebut tidak dapat disampaikan dengan efektif dan wujud masalah kepada guru. Seperti yang diketahui, pengajaran dan pembelajaran matematik diadakan di dalam kelas di mana subjek Lukisan, Geografi, Muzik dan sebagainya juga diajarkan. Tanpa kelengkapan dan alatan sesuatu topik tidak dapat diajarkan dengan baik dan murid menghadapi kekeliruan dalam memehami sesuatu topik.

MASALAH PEMBELAJARAN MURID

Diri Murid

Mengikut kajian yang telah dilakukan, masalah-masalah yang sering berlaku dalam sesuatu pembelajaran ialah masalah peribadi (5%), masalah emosi (15%), masalah akademik (25%), masalah sosial (20%) dan masalah salah laku (35%).

Punca-punca masalah ini dipercayai disebabkan dari diri murid itu sendiri, rakan sebaya, sikap guru dan kaedah serta bahan pengajaran yang tidak sesuai. Kesan-kesan dari masalah-masalah tersebut dapat dilihat dari segi aktiviti pengajaran, pembelajaran dan tabiat murid. Kesan terhadap aktiviti pengajaran, peruntukkan masa serta penilaian guru akan terganggu dan terjejas seperti guru tidak dapat menjalankan aktiviti pengajaran dengan baik, terpaksa memperuntukkan banyak masa untuk menjalankan penyelesaian dan tidak dapat menerima maklum balas melalui aktiviti susulan.

Manakala kesan terhadap aktiviti pembelajaran dan tabiat murid ialah seperti tidak mempunyai peluang mengaplikasikan dan mengukuhkan konsep atau kemahiran yang baru mereka belajar serta mengamalkan sikap malas dan tidak bertanggungjawab.

Bahasa Matematik

Murid-murid yang mempunyai kesukaran akan menghadapi masalah dari segi pemahaman mereka tentang sesuatu ayat matematik tersebut. Kegagalan mereka untuk memahami ayat tersebut membuatkan mereka kecewa lalu berputus asa untuk belajar.

Bahasa yang terdapat dalam matematik sukar difahami oleh murid kerana bahasa matematik agak berbeza dengan bahasa harian. Penggunaan beberapa terma yang sering digunakan dalam bahasa seharian mungkin mempunyai makna yang berlainan di dalam matematik, contohnya,

( ) - kurungan bermaksud darab.

< > - lebih daripada atau kurang daripada.

BAGAIMANA UNTUK MENGATASI MASALAH-MASALAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

Guru dan murid sama-sama berperanan untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul.

GURU

Sahsiah

Mempunyai sahsiah yang baik akan mempengaruhi pembelajaran murid. Satu kajian yang dijalankan oleh Maslow dan Zimmerman (1956) menunjukkan pertalian di antara, sahsiah dengan kebolehan mengajar; dan kecerdasan dengan kebolehan mengajar dan kecerdasan dengan sahsiah mempunyai jarak antara 50 dan 70.

Ini memperlihatkan pentingnya sahsiah dan kecerdasan persekolahan dengan kebolehan mengajar. Dengan kelebihan sahsiah dan kualiti kecerdasan akan membolehkan seseorang guru menguruskan pekerjaannya dengan berkesan dan kebolehan untuk memimpin serta mengajar muridnya dengan cara yang berkesan.

Latar belakang pengetahuan yang hendak diajar

Guru perlu mengetahui dengan mendalam akan mata pelajaran yang hendak diajarkan kerana kurangnya pengetahuan guru dalam mata pelajaran yang akan diajarkannya akan mendatangkan rasa tidak percaya kepada dirinya, menyebabkan sifat yang beku dan mendatangkan rasa bimbang dan ini seterusnya akan menghilangkan kepercayaan murid terhadap guru.

Sebaliknya dengan mempunyai banyak pengetahuan sahaja di dalam mata pelajaran yang hendak diajar tidaklah mencukupi kerana kerap kita terdengan mengatakan bahawa ada guru yang benar-benar tahu mata pelajaran yang hendak diajarkannya tetapi tidak berjaya menyampaikan apa yang sepatutnya disampaikan olehnya kepada murid.

Kecekapan di dalam satu bidang pelajaran itu sahaja tidak semestinya ada pertalian dengan kebolehan untuk merangsangkan murid untuk mahu belajar. Dengan kecekapan di dalam satu-satu bidang pengetahuan juga tidak menjamin kebolehan untuk kandungan ilmu pengetahuan itu bermakna kepada murid untuk membolehkan mereka mempelajarinya. Oleh yang demikian, kecekapan di dalam satu-satu ilmu pengetahuan itu adalah penting tetapi dengan pengetahuan sahaja tidak mencukupi.

Untuk mencukupi pembentukkan seseorang guru ia mesti memahami murid-muridnya. Guru mesti mempunyai pengetahuan yang lengkap tentang sifat kerjasama dan juga sifat psikologi kanak-kanak. Selain daripada itu, guru mesti mempunyai pengetahuan tentang teori, bagaimana bahan ilmu pengetahuan dapat disampaikan kepada murid dengan cara yang berkesan.

Alatan dan kepelbagaian strategi serta penggunaan buku teks

Sering diperkatakan tentang buku-buku teks yang terdapat sekarang tidak dikemaskinikan. Namun adakah ini sepatutnya menjadi isu dan masalah kepada guru. Adalah mustahil bagi pihak perkembangan kurikulum untuk mencetak buku teks pada setiap tahun.

Oleh yang demikian, guru-guru adalah disarankan supaya tidak terlalu bergantung kepada buku-buku teks yang disediakan oleh kurikulum semata-mata. Guru perlu pandai dan kreatif mengolah soalan dan menyediakan nota untuk murid. Buku-buku teks pula boleh dijadikan sebagai panduan dan guru digalakkan untuk menggubal isi buku teks tersebut mengikut kreativiti serta keperluan murid masing-masing selaras dengan perkembangan semasa. Dalam hal ini Inisiatif guru amat diperlukan.

Membuatkan pengajaran bermakna dan berguna

Kebanyakkan guru mempunyai masalah dalam memotivasikan murid mereka kerana sebilangan guru percaya ada sebahagian topik tidak berguna dan memberi makna kepada mereka. Untuk mengelak perkara sedemikian berlaku, guru hendaklah melihat jangka pendek dan panjang sesuatu pengajaran itu. Jangka masa pendek adalah dengan menunjukkan suatu pengajaran dan pembelajaran itu berguna dengan mengaitkan pembelajaran murid dengan minat dan pengalaman mereka. Pengalaman mereka, ‘field-trip’, lawatan dapat membuatkan suatu pengajaran dan pembelajaran itu berhubungkait dan bermakna.

Meningkatkan minat murid

Murid akan lebih bersemangat sekiranya pengajaran guru itu menarik, merangsang perasaan ingin tahu ataupun menyeronokkan. Sebahagian cara untuk meningkatkan minat murid adalah dengan:

- Guru hendaklah bersemangat tinggi serta menunjukkan minat yang mendalam

- Menunjukkan contoh benda konkrit, tayangan video, mengadakan lawatan dan sebagainya.

- Menggalakkan partisipasi murid dalam pengajaran dan pembelajaran serta menggunakan kreativiti mereka

- Mengadakan pengajaran yang berhubungkait dengan kehidupan seharian mereka

- Mengaplikasikan teknik permainan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Mengelak kebosanan

Untuk mengelakkan kebosanan berlaku, guru hendaklah berusaha untuk membuatkan pengajaran mereka menarik dengan memperkenalkan alat bantu mengajar dan teknik pengajaran yang dapat merangsang minat murid. Tujuan utamanya ialah untuk menghasilkan kepelbagaian dalam belajar serta mengelak kebosanan.

Motivasi menerusi maklum balas

Maklum balas adalah informasi yang murid terima mengenai dengan kualiti kerja mereka yang telah ditetapkan. Maklum balas ini adalah untuk menaikkan motivasi murid kerana ia membolehkan mereka menilai pencapaian mereka, memahami kecekapan mereka, memperbaiki kesalahan serta menerima dorongan daripada guru merka.

MURID

Untuk mengurangkan masalah-masalah dari segi pembelajaran itu berlaku, guru hendaklah memahami terlebih dahulu mengenai keperluan-keperluan yang diperlukan oleh seseorang kanak-kanak iaitu murid-muridnya. Antara keperluan yang diperlukan oleh seseorang murid itu yang telah dinyatakan oleh Abraham Maslow ialah:

- keperluan asas seperti makan, minum, rehat atau tidur.

- keperluan keselamatan, keselesaan dan jaminan

- keperluan kasih sayang dan termilik

- keperluan penghargaan kendiri

- keperluan penyempurnaan kendiri

Dari itu dalam sesuatu pembelajaran, markah baik, hadiah, pujian dan kata-kata perangsang amatlah diperlukan kerana dengan cara ini murid mendapat motivasi secara tidak langsung dengan menggunakan keinginan semula jadi (natural desire) murid, iaitu mereka mahu melihat diri mereka berjaya di mata guru dan kawan mereka.

Selain dari itu, guru juga boleh menggunakan peneguhan negatif (negative reinforcement). Ia berfungsi sebagai mengelakkan atau menghindari. Digunakan untuk membawa kesan yang tidak menyeronokkan atau memalukan, yang ingin dihindari oleh seseorang individu, tetapi sangat berkesan untuk menghadapi masalah murid. Eksperimen ini telah berjaya menunjukkan bahawa murid adalah lebih mengambil perhatian dan penumpuan terhadap peneguhan negatif kerena mereka takut mengahadapi kesan-kesan peneguhan negatif dan juga tidak mahu kehilangan layanan yang baik daripada guru.

Cara seterusnya ialah memfokuskan kepada guru iaitu guru hendaklah membuat penggubahsuaian terhadap pengurusan strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, terutama kaedah dan teknik bermain dikaitkan dengan kaedah dan teknik mengajar seperti penyelesaian masalah matematik. Guru juga hendaklah menggunakan strategi pemusatan bahan seperti radio, gambar, model, benda konkrit, bahan tercetak, radas dan kas jalur berpetak dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dipercayai bahawa bahan pengajaran yang disediakan itu telah berjaya menarik minat murid untuk membuat tugasan dan juga mudah difahami oleh setiap murid. Tujuannya untuk merangsangkan murid-murid supaya dapat memberikan tumpuan dan minat. Di samping murid tidak merasa bosan dan sebaliknya dia merasa sangat bangga sekiranya berjaya menyelesaikan tugasan.

PENUTUP

Terlalu banyak masalah yang berhubungkait dengan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan masalah tersebut boleh di atasi dengan pelbagai cara dan cadangan. Kesedaran tentang Matematik di era globalisasi ini perlu dititik beratkan, ditanamkan pada setiap individu dan se awal sekolah rendah lagi. Sukar atau tidaknya Matematik bergantung kepada cara guru mengolah bahan bantu mengajar dengan bijak dan tersendiri. Belajar untuk mengajar adalah kemahiran yang memerlukan masa dan kesabaran untuk disempurnakan.

Guru ialah sebagai pelakon, mesti pandai menonjolkan bakatnya supaya murid suka akan lakonannya. Manakala murid pula sebagai penonton dan mereka akan menyaksikan pertunjukkan yang dipersembahkan oleh guru di dalam kelas. Dari itu guru mestilah pandai memilih dan mengurus strategi yang sesuai untuk mencapai objektif jangka panjang sesuatu pendekatan. Penyelesaian ini juga berkesan unutk menyelesaikan masalah murid dengan baik.

No comments: