Monday 3 November 2008

PS 4305 2.16 Maths across the curriculum (Malay)

Matematik Merentas Kurikulum Termasuk Penggunaan Matematik Dalam Mata Pelajaran Atau Bidang Lain

1.0 Pengenalan

Matematik ialah satu bidang ilmu yang melatih minda supaya berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Sifat Matematik secara tabiinya menggalakkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran. Subjek Matematik adalah sangat penting sebagai salah satu alat komunikasi yang menggambarkan dan menerangkan dengan menggunakan sistem simbolik melalui tulisan, pertuturan dan aspek penglihatan.

Matematik adalah asas dalam memahami segala sudut ilmu dan kemajuan. Jika sesebuah masyarakat itu lemah dalam bidang Matematik, ini akan menghambat kemajuan mereka dan akan mereka akan sekadar menjadi pengikut, bukan peneroka dalam mana-mana bidang.

Ilmu matematik adalah ilmu yang sangat penting untuk kita tanamkan dalam jiwa murid-murid kita. Generasi seterusnya sangat kritikal dalam menentukan kemajuan sesebuah masyarakat. Jika kita mahu maju beberapa tapak ke hadapan, kita mesti terapkan kemajuan Matematik dalam generasi yang akan menggantikan kita.

Tujuan pengajaran Matematik di peringkat sekolah rendah ialah agar murid-murid dapat:

ü Mempelajari skil dalam pengiraan.

ü Menggunakan kecekapan mereka untuk menyelesaikan masalah.

ü Menggunakan kecekapan mereka untuk menaksir dan mengira atau membuat anggaran.

ü Menggunakan kecekapan mereka mentafsir graf dan menyusun data yang berkaitan dengan angka.

Dalam erti kata lain, Matematik diajar kepada murid-murid agar mereka boleh:

ü Menguasai kemahiran menulis nombor dan mengira.

ü Memperoleh 4 kemahiran dasar iaitu campur, tolak, darab dan bahagi.

ü Memperoleh kecekapan mengukur, menimbang, menyatakan waktu dan sebagainya.

ü Mengecam dan menyatakan nama bentuk dan mengetahui sifat empat segi tepat, empat segi sama dan sebagainya.

ü Menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan nombor, pengukuran, timbangan, wang dan jarak.

2.0 Aspek-Aspek Penting Dalam Matematik Yang Perlu Diperkembangkan Dalam Diri Murid-Murid

Terdapat tiga aspek penting dalam Matematik yang perlu diperkembangkan dalam diri murid-murid:

2.1 Matematik sebagai penaakulan

Matlamat dalam penyelesaian masalah ialah menyelesaikan masalah itu. Dalam usaha mencari penyelesaian, murid membuat rumusan dan keputusan berdasarkan input yang diterima. Keputusan yang dibuat adalah hasil daripada proses penaakulan. Terdapat dua jenis penaakulan, iaitu penaakulan induktif dan penaakulan deduktif. Dalam penaakulan induktif keputusan dibuat berdasarkan contoh-contoh yang khusus. Keputusan ini disebut sebagai konjektur atau tekaan yang baik. Konjektur ini boleh jadi sah atau tidak sah. Dalam penaakulan deduktif keputusan dibuat berdasarkan fakta-fakta yang telah terbukti benar dan diterima. Dengan mengaplikasikan pernyataan fakta yang benar kepada contoh khusus murid dapat menghasilkan keputusan yang sah.

2.2 Matematik sebagai komunikasi

Matematik bukan sekadar alat untuk berfikir malah ia merupakan alat untuk menyampaikan idea dengan jelas dan tepat. Oleh itu Matematik harus diajar sebagai satu bahasa yang bermakna. Komunikasi memainkan peranan yang penting dalam membantu murid bukan sahaja membina konsep malah membina perkaitan antara idea yang tidak formal, intuitif, dan bahasa abstrak dengan simbol Matematik. Matematik juga merupakan aktiviti sosial yang melibatkan proses interaksi yang aktif, di mana murid harus belajar menerima idea-idea Matematik melalui mendengar, membaca dan membuat visualisasi. Murid juga harus boleh mempersembahkan idea-idea mereka secara bertutur, menulis, melukis gambar atau graf, dan dengan menggunakan bahan konkrit. Komunikasi membuka ruang kepada murid untuk berbincang dan menyoal tentang Matematik.

2.3 Matematik sebagai penyelesaian masalah

Mempelajari penyelesaian masalah adalah tujuan utama mempelajari Matematik kerana penyelesaian masalah merupakan satu aspek dalam kehidupan yang pasti murid hadapi. Fokus kepada proses dan kemahiran penyelesaian masalah harus dititikberatkan. Penyelesaian masalah disifatkan sebagai segala yang dilakukan oleh seseorang individu apabila berhadapan dengan soalan atau situasi yang pada masa itu tidak terdapat satu jalan penyelesaian yang nyata. Dalam mencari jalan keluar untuk sesuatu halangan yang dihadapi itu, murid harus berfikir, membuat keputusan dan menggunakan strategi-strategi tertentu yang sesuai. Dalam usaha pencarian ini aktiviti berfikir dan kemahiran merasionalkan sesuatu langkah penyelesaian memainkan peranan yang penting. Ia menuntut murid menjana cetusan pemikiran yang sistematik dan logik. Sistematik, kerana ia menjanakan cetusan pemikiran metodogikal mengikut langkah-langkah tertentu dan logik kerana ia memerlukan penyemakan untuk menentukan kemunasabahan sesuatu penyelesaian. Kejayaan yang diperoleh akan mendorong pembentukan sikap yang positif pada diri murid terhadap Matematik dan terhadap aktiviti penyelesaian masalah itu khususnya.

3.0 Matematik Merentas Kurikulum

Matematik merentas kurikulum membawa maksud mata pelajaran Matematik yang memasuki bidang-bidang pelajaran yang lain. Pembelajaran atau penggunaan Matematik itu tidak terhad dalam mata pelajaran Matematik sahaja tetapi juga diaplikasikan pada subjek-subjek yang lain kerana subjek-subjek lain selain Matematik adakalanya memerlukan penggunaan Matematik secara langsung mahupun tidak langsung. Kurikulum Matematik Sekolah Rendah memberi penegasan terhadap pembentukan asas ilmu matematik supaya penyemaian dan penyuburan pengetahuan, minat, sikap dan nilai estetik berjaya melahirkan generasi yang berbudaya matematik. Di samping itu kemahiran berfikir dan kemahiran belajar diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menegaskan penguasaan konsep, proses dan bahasa Matematik.

Tujuan merentas kurikulum antara lain ialah:

ü Untuk membantu murid-murid menghubungkaitkan antara subjek, tema, isu masalah dan topik yang mereka pelajari

ü Untuk menarik perhatian murid-murid

ü Menggalakkan kolaborasi antara guru-guru

ü Menggalakkan pembelajaran yang aktif di kalangan murid-murid.

Matematik merentas kurikulum adalah merupakan pendekatan yang baik berdasarkan kepada faktor-faktor berikut:

ü Matematik sebagai alat komunikasi

Murid dikehendaki untuk membuat interpretasi mengenai sesuatu hal berdasarkan kepada pengetahuan Matematik mereka seperti simbol dan idea Matematik. Contohnya, pada masa in Brunei mengadakan Jualan besar-besaran yang mana terdapat iklan di surat khabar dan televisyen yang memaparkan potongan harga seperti 50%, 70% dan sebagainya. Murid-murid yang mempunyai pengetahuan Matematik akan memahami iklan tersebut bahawa jika mereka membeli di kedai tersebut akan diberikan potongan harga yang istimewa.

ü Matematik sebagai alat untuk mengetahui alasan dan sebab

Murid-murid yang berpengetahuan Matematik akan bijak menggunakan kemahiran Matematiknya untuk menyelesaikan masalah, mencari alasan kenapa masalah itu terjadi dan bagaimana untuk menyelesaikannya. Contohnya, murid diberikan sesuatu masalah mereka boleh menggunakan pengetahuan Matematik mereka untuk mencari sebab sesuatu perkara itu terjadi.

ü Matematik dalam menghubungkaitkan sesuatu perkara dengan perkara yang lain

Oleh sebab Matematik sangat versatil maka ia senang untuk dikaitkan dengan subjek atau bidang-bidang lain. Contohnya, pada subjek Bahasa Inggeris darjah 3 terdapat tajuk Time. Pada tajuk ini murid-murid boleh menggunakan kemahiran membaca waktu.

ü Murid boleh menggunakan Matematik melalui konteks yang lebih meluas

Matematik bukan satu subjek yang tertumpu kepada pengiraan nombor sahaja. Murid-murid perlu melihat Matematik pada konteks yang lebih meluas dan menghubungkaitkan Matematik dengan kehidupan sehari-hari.

ü Mengharapkan murid-murid menggunakan skil Matematik tersebut kepada bidang lain

Apabila murid-murid berada di luar sekolah, mereka perlu bijak menggunakan kecekapan Matematik untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi seperti mengira perbelanjaan ketika membeli-belah.

ü Menjadikan pemikiran murid-murid menjadi lebih kreatif, kritis dan inovatif

Dengan mempunyai pengetahuan Matematik yang meluas dan mendalam, murid-murid diharap akan menjadi individu yang mempunyai pemikiran yang kreatif, kritis dan inovatif untuk berjaya pada bidang yang mereka ceburi.

4.0 Pengimplementasian Matematik Merentas Kurikulum Bagi Sekolah Rendah Negara Brunei Darussalam

Berdasarkan kepada sukatan pelajaran sekolah rendah, kami telah mendapati beberapa subjek yang menggunakan matematik di dalamnya. Antara subjek-subjek tersebut ialah mata pelajaran Sains, Sivik dan Pelajaran Am.

ü Sains

Sains adalah merupakan salah satu subjek yang ditawarkan di peringkat sekolah rendah khususnya di peringkat rendah atas iaitu darjah 4, 5 dan 6. Contoh topik dalam mata pelajaran Sains yang menggunakan Matematik ialah topik ‘Suhu’ (darjah kepanasan).

Aspek matematik dalam topik ‘Suhu’ ialah:

- Membaca suhu pada jangka suhu (thermometer) – Pengunaan Nombor

- Mengetahui perbezaan antara suhu sebelum dan selepas – Pengunaan aritmetik

ü Sivik

Sivik walaupun tidak termasuk dalam peperiksaan awam seperti PSR, ia tetap diajarkan di semua peringkat di sekolah rendah iaitu dari darjah pra hinggalah darjah 6. Antara topik yang menggunakan matematik ialah ‘Menghormati waktu-waktu sembahyang’ dan ‘Mengenalkan panji-panji yang terdapat pada bendera negara’.

Aspek matematik dalam topik ‘Menghormati waktu-waktu sembahyang’ ialah:

- Mengetahui waktu-waktu sembahyang berdasarkan kepada bayang sesuatu objek lebih panjang daripada objek yang sebenarnya (sembahyang Asar) – Pengunaan ukuran.

- Pengunaan jam juga digunakan untuk mengajar topik ini – Pengunaan Masa

Aspek matematik dalam topik ‘Mengenalkan panji-panji yang terdapat pada bendera negara’ ialah:

- Mengetahui jumlah panji-panji seperti banyak sayap dan padi pada lambang panji-panji – Pengunaan Nombor dan Pengiraan.

ü Pelajaran Am

Pelajaran am adalah merupakan gabungan antara subjek Geografi, Sains dan Sejarah (bagi peringkat rendah bawah), sama seperti Sivik ia juga diajarkan pada semua peringkat di sekolah rendah cuma ia dikenali sebagai ‘General paper’ (Geografi dan Sejarah sahaja) pada peringkat rendah atas. Contoh topik yang menggunakan Matematik ialah ‘Nama Daerah dan Kedudukannya’, ‘Asas melukis peta’ dan ‘Sultan- sultan Brunei’.

Aspek matematik dalam topik ‘Nama Daerah dan Kedudukannya’ ialah:

- Melihat kedudukan daerah di dalam peta dan luas bagi setiap daerah – Pengunaan arah atau ‘direction’ dan perbandingan saiz bagi setiap daerah.

Aspek matematik dalam topik ‘Asas melukis peta’ ialah:

- Melukis simbol-simbol di dalam peta contohnya simbol bukit, bandar/pekan, tanah tinggi dan rendah. – Pengunaan bentuk-bentuk geometri.

Aspek Matematik dalam topik ‘Sultan-sultan Brunei’ ialah:

- Mengetahui berapa lama seseorang Sultan memerintah – Pengunaan aritmetik.

Selain dari subjek sekolah rendah, kami juga dapati pengimplementasian Matematik juga diterapkan pada subjek sekolah menengah seperti Sains rumahtangga dan Komputer. Pada subjek Sains rumahtangga, para pelajar perlu mengukur ukuran baju dan menimbang berat barang-barang yang diperlukan. Pelajar perlu tahu 1 inci bersamaan juga dengan berapa sentimeter, 1 liter juga bersamaan dengan berapa mililiter dan sebagainya.

Pada subjek Komputer (IT), pelajar didedahkan kepada program Logo. Pada program tersebut pelajar diminta untuk membuat bentuk seperti segi empat tepat, segi empat sama, tiga segi dan sebagainya.

5.0 Bidang-bidang yang menggunakan Matematik

Perhatian terhadap mata pelajaran Matematik adalah wajar kerana ia mempunyai peranan yang penting dalam masyarakat moden di seluruh dunia. Perlu disedari bahawa ilmu Matematik adalah ilmu yang sangat berguna di samping keperluannya yang penting dalam kerjaya di bidang saintifik, teknologi, kejuruteraan dan sebagainya. Dalam dunia tanpa sempadan dan serba canggih ini, kita tidak terlepas daripada tuntutan untuk memenuhi ciri-ciri kehidupan moden. Kita juga perlu akur, bilamana kemajuan sains dan teknologi mempengaruhi kehidupan kita sehari-hari.

Penggunaan Matematik tidak hanya tertakluk kepada subjek tunggal semata-mata bahkan ia juga mempunyai kaitan dan peranan di dalam pelbagai bidang. Terdapat banyak lagi bidang atau pekerjaan yang memerlukan pengetahuan Matematik dalam melaksanakan sesuatu bidang tersebut. Di sini, kami hanya menyatakan beberapa contoh bidang-bidang yang menggunakan pengetahuan Matematik seperti Kejuruteraan, Ahli Sains, Perniagaan, Arkeologis, Geologis, Chef dan Seni bina.

5.1 Kejuruteraan

Kejuruteraan merupakan satu bidang bagaimana kita menggunakan Sains dan Matematik untuk menyelesaikan masalah-masalah praktikal dalam kehidupan seharian. Kejuruteraan menggabungkan pengetahuan yang sedia ada, pengetahuan Matematik dan pengalaman untuk mereka bentuk sesuatu objek atau proses. Contohnya, Jurutera sivil terlibat dengan reka bentuk, perancangan dan pembinaan struktur binaan yang besar seperti lebuh raya, jambatan, empangan yang berkaitan dengan isipadu dan keluasan kawasan yang dibina, struktur bangunan yang berhubungkait dengan keluasan, ketinggian dan sebagainya.

5.2 Ahli sains

Bahagian perubatan seperti ahli kimia, ahli farmasi dan lain-lain. Contoh, ahli farmasi harus tahu sukatan ubat yang diperlukan atau diberikan kepada pesakit-pesakit bersesuaian dengan keperluan mereka. Jika ahli farmasi salah memberikan perskripsi ubat kepada pesakit, ditakuti akan terjadi perkara ynag tidak diingini seperti terlebih dos ubat.

5.3 Ahli perniagaan

Matematik memainkan peranan yang penting dalam bidang perniagaan. Ahli perniagaan harus mempunyai pengetahuan yang mendalam supaya mereka dapat mengaplikasikan Matematik untuk membuat pengiraan mengenai keuntungan atau kerugian, akaun dan sebagainya.

5.4 Arkeologis

Arkeologis mempunyai peranan dalam mengambil berat mengenai penemuan dan menginterpretasi barang-barang yang ditinggalkan oleh manusia pada zaman yang lalu. Dalam bidang ini, tugas seorang arkeologis bukan sahaja perlu mengetahui tentang sejarah yang ditinggalkan bahkan juga memerlukan pengetahuan Matematik dalam bidang mereka. Sebagai contoh, mengkaji berapa lamakah usia artifak-artifak yang ditemui.

5.5 Geologis

Geologis berperanan mengkaji bumi dari segi asal usul, sejarah, struktur, komposisi dan proses asli yang berlaku. Contohnya, para geologis memerlukan skil Matematik untuk:

Earth Crust - Mengukur ketebalan kerak bumi.

Plate movement – mengukur berapa sentimeter pergerakan lapisan bumi dalam masa setahun dan sebagainya.

Isotop ratio – mencari usia sebenar batu (rock).

Sedimentation rate – Mengira berapa berat atau berapa sentimeter sediment dalam masa setahun.

5.6 ‘Chef’

Bidang masakan juga memerlukan pengetahuan dalam Matematik. Walaupun penggunaannya tidak begitu kompleks namun seorang ketua tukang masak juga perlu bijak dalam membuat anggaran seperti sukatan, timbangan, menganggarkan suhu ketuhar, berapa liter air yang diperlukan dan sebagainya.

5.7 Seni Bina

Matematik dan ilmu seni bina mempunyai perkaitan yang rapat di antara satu sama lain. Ia amat diperlukan dalam pemahaman sesuatu konsep struktur konsep dan pengiraan. Matematik juga digunakan sebagai salah satu cara untuk mencapai keseimbangan di alam semesta. Bangunan bersejarah seperti Parthenon di Acropolis, Athens tidak akan berdiri tanpa pengetahuan geometri.

6.0 Matematik merentas kurikulum tidak memerlukan matematik diajar secara ‘single subject’ atau subjek tunggal’

Matematik merentas kurikulum adalah merupakan isu yang sangat menarik sekali, bukan sahaja menarik bahkan ia adalah merupakan satu pendekatan yang sangat baik bagi guru dan murid untuk mengaitkan antara Matematik dengan mata pelajaran yang lain. Walaubagaimana pun para penulis merasakan bahawa Matematik itu tetap perlu diajarkan secara ‘single subject’, melalui ini mata pelajaran Matematik akan dapat di ajarkan secara lebih mendalam. Selain daripada itu guru akan dapat memberi penumpuan yang lebih kepada subjek ini, melalui waktu atau ‘period’ yang telah disediakan oleh pihak sekolah untuk mata pelajaran ini mengambil tempat. Walaupun Matematik merentas kurikulum adalah merupakan satu langkah yang bijak untuk memantapkan ilmu Matematik dikalangan murid-murid selain daripada keperluannya sendiri dalam subjek lain, tetapi pengajaran Matematik pada subjek lain sahaja adalah tidak mencukupi untuk murid mengetahui isi-isi pelajaran secara mendalam Matematik. Ini kerana tidak semua topik dalam mata pelajaran matematik itu digunakan pada subjek lain. Justeru pengajaran Matematik secara subjek tunggal tetap perlu diteruskan.

7.0 Kesimpulan

Jelas di sini bahawa Matematik bukan sahaja diajarkan di sekolah untuk memenuhi keperluan sekolah dan kehendak kurikulum semata-mata bahkan ia juga sangat berguna untuk masa depan murid-murid. Penggunaan Matematik tidak terhad kerana ia dapat digunakan dalam bidang-bidang yang lain. Oleh itu, kita tidak harus memandang ringan terhadap mata pelajaran Matematik kerana kita boleh memperolehi banyak kepentingan melaluinya.

Rujukan

Jabatan Perkembangan Kurikulum (1997) Buku Panduan Guru Pelajaran Am Darjah 2. Negara Brunei Darussalam: Kementerian Pendidikan.

Jabatan Perkembangan Kurikulum (1997) Buku Panduan Guru Sains Darjah 4. Negara Brunei Darussalam: Kementerian Pendidikan.

Jabatan Perkembangan Kurikulum (1997) Buku Panduan Guru Sivik Darjah 2. Negara Brunei Darussalam: Kementerian Pendidikan.

Jabatan Perkembangan Kurikulum (1997) Buku Panduan Guru Sivik Darjah 3. Negara Brunei Darussalam: Kementerian Pendidikan.

No comments: